President Message   |   Committee   |   History   |   Membership   |   Contact Us   |   Feedback & Enquiry   |   Home

 
Advanced Search

                    Forgot your password?
Home » Education Programmes » Nurses Education »  

4.1 Gastroenteritis Akut

3 September 2001

S1 : Apakah cirit-birit?

3 ciri utama yang biasa digunakan untuk mendefinisikan cirit birit adalah :
(1)   Kekerapan membuang air besar, iaitu 4 atau lebih dalam sehari
(2)   Peningkatan kandungan air dalam najis
(3)   Kuantiti najis yang banyak setiap kali membuang air besar

Sebab utama cirit-birit adalah gastroenteritis akut.

Perlu ditekankan di sini yang adakalanya apa yang dipanggil cirit-birit oleh ibu bukan sebenarnya cirit-birit. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang kelaparan sudah pasti tidak mempunyai jumlah najis yang banyak, sebaliknya mungkin mengeluarkan lelehan cecair yang lebih kerap melalui dubur yang boleh disalah anggap sebagai cirit-birit.

Bayi yang hanya diberi susu badan akan membuang najis yang lembut atau separuh cair. Ini bukanlah cirit-birit. Satu kenyataan yang perlu ditekankan di sini ialah bayi yang hanya diberi susu badan amat jarang mengalami gastroenteritis.

S2 : Apakah penyebab gastroenteritis?

Banyak organisma yang boleh menyebabkan gastroenteritis. Antara organisma yang paling sering menyebabkan gastroenteritis adalah

(1)   Rotavirus
(2)   Escherichia coli
(3)   Shigella
(4)   Campylobacter jejuni
(5)   Cryptosporidium
(6)   Salmonella
(7)   Vibrio cholerae

S3 : Apakah faktor-faktor yang mempradispos kepada gastroenteritis?

(a)    Umur.
Penyakit cirit-birit biasanya terjadi dalam 2 tahun pertama usia kanak-kanak. Insiden paling tinggi dalam lingkungan usia 6-11 bulan iaitu waktu pengenalan kepada makanan pejal.
(b)   Tempat tinggal yang sesak, penggunaan air minuman yang tercemar, pembuangan najis yang tidak mementingkan kesihatan dan kebersihan.
(c)    Kegagalan untuk memberi susu badan terutama pada jangka usia 4-6 bulan pertama
(d) Penyediaan makanan yang tidak mementingkan kebersihan, misalnya penggunaan botol susu yang mungkin tidak dicuci dengan sempurna dan tidak menyimpan makanan yang telah dimasak dalam peti sejuk.
(e)   Kanak-kanak yang mempunyai masalah permakanan yang tidak seimbang (malnutrisi) lebih mudah menghidapi cirit-birit
(f)   Imunodefisiensi (kekurangan daya tahan)
(g)  Bayi dengan berat lahir yang rendah

S4 : Apakah soalan-soalan berkaitan yang perlu dikemukakan apabila berhadapan dengan kanak-kanak yang mengidap cirit-birit.


(1)   Jangkamasa penyakit
- Adakah pada masa yang sama mengidapi demam?
(2)   Jumlah najis dan bilangan kekerapan membuang air besar
(3)   Kehadiran darah atau lendir di dalam najis
(4)   Kekerapan muntah
(5)   Tahap dahaga dan kali terakhir kanak-kanak membuang air kecil
- Adakah warna urin lebih gelap dari biasa?
(6)   Apakah jenis makanan yang diambil sebelum dan waktu mengalami cirit-birit?
(7)   Adakah mengambil apa jua bentuk ubat?
(8)   Kes yang serupa di kalangan ahli keluarga atau di kalangan rakan-rakan
 
S5 : Apakah tanda-tanda dehidrasi (kekeringan) dan bentuk rawatan untuk pesakit gastroenteritis akut?

Sebaik sahaja cirit-birit bermula, kanak-kanak perlu diberi lebih cecair (minuman) dari kebiasaan. Kanak-kanak yang diberi susu badan perlu disusui dengan lebih kerap. Cara yang paling mudah dan terbaik untuk merawat dehidrasi yang sedikit ialah dengan memberi rehidrasi cecair secara oral. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan ada menyediakan garam rehidrasi. Jumlah yang kecil dan pemberian yang kerap dengan sudu adalah lebih mudah diterima. Kanak-kanak yang benar-benar tidak mahu minum boleh diberi cecair melalui tiub nasogastrik.

Nasihat yang berikut adalah berdasarkan panduan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia. (The Treatment and Prevention of Acute Diarrhoea. Practical Guidelines, Second Edition, World Health Organization, Geneva 1989)

 PENILAIAN TAHAP DEHIDRASI

TAHAP DEHIDRASI CIRI-CIRI  A Tidak ada dehidrasi  B Dehidrasi sederhana C Dehidrasi teruk
Keadaan baik, cergas gelisah, kurang cergas tahap kesedaran yang kurang ataupun tidak sedar diri sama sekali
tahap dahaga tidak dahaga dahaga dan giat minum air terlalu sakit untuk minum
Air mata ada tidak ada tidak ada
Mulut dan lidah basah Kering Sangat kering
Mata seperti biasa sedikit
penenggelaman bola mata
penenggelaman bola mata yang jelas dan kehilangan tekanan (tension) bola mata
Keadaan kulit bila di cubit menjadi biasa dengan cepat menjadi biasa dengan perlahan menjadi biasa dengan amat perlahan

        
 Langkah-langkah yang perlu diambil

TAHAP A :     Tidak ada dehidrasi
Pesakit boleh dirawat di rumah dan perlu diberi lebih cecair daripada biasa. Makanan yang cukup juga perlu diberi

TAHAP B :     Dehidrasi sederhana
Dehidrasi pesakit perlu dirawati.
Jumlah air garam rehidrasi (ORS) yang perlu diberi dalam masa 4-6 jam yang pertama adalah mengikut berat badan pesakit tersebut:

Berat badan (kg) < 5 5-9 9-13 13-20 20-40 40 +
air garam (ml) 200-400 400-600 600-800 800-1000 1000-2000 2000-4000

                       
Selepas 4 jam, keadaan pesakit mesti dinilai semula.

TAHAP C :     Dehidrasi teruk
Rawatan perlu diberi dengan cepat
Cecair diberi melalui drip intravena (saluran darah)

S6 : Bagaimanakah kanak-kanak yang dimasukkan ke wad dengan cirit birit perlu diawasi?

Tanda-tanda dehidrasi (sebagaimana yang disenaraikan dalam soalan 5) perlu diperhatikan. Perlu ditekankan yang ianya amat penting untuk menilai tahap kesedaran kanak-kanak berkenaan. Jumlah pengeluaran urin juga perlu di perhatikan dengan teliti.  Tekanan darah dan denyutan nadi perlu diperiksa dengan kerap.

S7 : Apakah yang perlu dimakan oleh seorang kanak-kanak yang mengalami cirit-birit?

Kanak-kanak yang mengalami cirit birit memerlukan banyak makanan. Makanan yang cukup bukan sahaja menolong kanak-kanak mengelakkan kesan-kesan buruk cirit birit seperti kekurangan zat, tetapi juga membolehkan mereka mngatasi penyakit ini dengan lebih cepat.

Makanan yang terbaik ialah makanan yang mudah dihadamkan. Sebagai contoh bijiran, telur rebus, bubur nasi, sup, ikan dan pisang. Sedikit lemak atau minyak (seperti margarine) boleh dicampurkan ke dalam makanan berkenaan.

S8 : Apakah makanan yang perlu diberi oleh si ibu kepada anaknya yang baru sembuh cirit birit?

Kanak-kanak yang dalam proses pemulihan cirit birit juga memerlukan banyak makanan dan mereka patut makan sebanyak yang mereka ingini. Oleh kerana kanak-kanak tersebut mungkin tidak mampu untuk makan setiap kali makanan disediakan, mereka perlu digalakkan untuk makan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Kalau tidak, kanak-kanak akan menjadi sakit dan proses pemulihan akan dilambatkan.

Adalah penting untuk memastikan bahawa gelas, sudu ataupun pinggan-mangkuk yang digunakan itu bersih. Makanan yang diberi itu adalah seperti bijirin, telur, sayur, nasi, daging, pisang, air kelapa ataupun lain-lain makanan yang berzat.

S9 : Apakah nasihat yang patut diberi oleh jururawat kepada ibubapa pesakit?

Selain daripada penjelasan di atas, jururawat mesti menerangkan kepada ibubapa bahawa cirit birit berpunca daripada makanan yang tidak bersih. Cara menghidangkan makanan dengan bersih, cara membasuh pinggan mangkuk dan cara membasuh tangan dengan teliti akan memastikan keluarga tidak mengidap sakit cirit-birit seperti si pesakit. Pembasuhan botol dan puting mesti dilakukan dengan teliti secara merebus sekurang-kurangnya selama 10 minit.

Dr. Christopher Boey



  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

Home | Disclaimer |  Sitemap | Contact Us | Credits |

©Copyright Malaysian Paediatric Association - MPA   2010    All rights reserved.