President Message   |   Committee   |   History   |   Membership   |   Contact Us   |   Feedback & Enquiry   |   Home

 
Advanced Search

                    Forgot your password?
Home » Education Programmes » Nurses Education »  

10.4 Pencegahan Kecederaan Di Rumah

4 September 2001

Kecederaan di rumah melibatkan jatuh, keracunan, lemas, kebakaran dan kelecuran, tercekik dan kejutan elektrik. Kecederaan yang kerap berlaku di rumah ialah jatuh. Kecederaan teruk yang boleh mengakibatkan maut ialah keracunan dan kebakaran dan kelecuran.

Jatuh

Anak yang jatuh dari ketinggian 2 atau 3 kaki boleh cedera teruk. Rumah anda mempunyai sesuatu kawasan di mana anak boleh ditimpa kecederaan ini. Kawasan yang berbahaya ialah di tangga, tingkap dan berandah. Oleh itu, ibu bapa mesti sentiasa berwaspada. Ibu bapa yang memberi perhatian kepada prinsip-prinsip berikut boleh mengelakkan kecederaan.

  • Jangan tinggalkan bayi bersendirian di katil, sofa atau meja menukar lampin. Jika hendak menjawab telefon atau membuat kerja lain, bawa bayi bersama.
  • Pastikan tangga tidak gelap dan tiada barang-barang bertaburan. Kawasan tangga bukannya tempat untuk bermain.
  • Gunakan pagar keselamatan di atas dan di bawah tangga untuk mengelakkan anak daripada turun naik tangga sesuka hati.
  • Jauhkan anak daripada bermain di berandah atau bumbung rumah.
  • Jauhkan perabot dari tingkap kerana anak boleh memanjat perabot yang berhampiran.
  • Jangan tinggalkan anak yang berumur 1-2 tahun di dalam bilik mandi bersendirian. Pastikan jubin bilik mandi daripada jenis yang tidak licin.
  • Alat bertatih (walker) berbahaya jika anak tidak diawasi. Alat ini tidak akan mempercepatkan anak mula berjalan.
  • Jika buai sarung digunakan, pastikan :

            -         anak berumur kurang daripada 6 bulan

-         Alaskan lantai di bawah buai dengan tilam atau bantal

-         Jangan beli buai yang beroda

-         Anak-anak lain tidak bermain berhampiran dengan bayi di dalam buai.

Keracunan

Minyak tanah, ubat-ubatan, cecair membasuh rumah, alat solekan dan ubat membunuh tikus merupakan racun-racun yang sering termakan oleh kanak-kanak. Semua racun ini boleh mengakibatkan maut. Apabila anak pandai berjalan, mereka akan cuba makan apa sahaja yang dijumpainya termasuk racun. Oleh itu, ibu bapa mesti memastikan rumah mereka selamat untuk anak dengan mengikuti nasihat berikut :  

  • Semua jenis ubat harus disimpan di dalam almari berkunci atau tempat yang tinggi dan selamat. Ubat yang beraneka warna akan menarik perhatian anak sehingga ia menyangkakannya gula-gula.
  • Jangan letak minyak tanah atau cecair yang berbahaya lain di dalam bekas botol minuman yang terbiar kerana anak akan menyangka bahawa air di dalam botol itu boleh diminum. Cecair beracun patut disimpan di dalam botol yang berlabel dan disimpan di dalam almari yang berkunci sekurang-kurangnya 1.75 meter dari paras lantai.
  • Jangan makan ubat di hadapan anak kerana anak kerap meniru perbuatan ibu, bapa atau ahli keluarga lain.
  • Ubat harus disimpan di dalam bekas yang tidak dapat dibuka anak (child resistant container). Bekas-bekas ini ada dijual di farmasi tempatan. Jika ada anak di rumah, jangan simpan banyak ubat.
  • Ubat tikus amat berbahaya! Jangan letakkannya di lantai tempat anak sering bermain. Ubat tikus mesti diletakkan di kawasan yang tidak dapat dilihat dan diambil oleh anak. Lebih elok jika perangkap tikus digunakan kerana ia lebih selamat. 

Lemas

Kebanyakan daripada anak yang mati lemas di Malaysia berpunca daripada anak yang lemas apabila berenang atau jatuh ke dalam sungai, kolam air dan laut. Adakalanya mereka lemas kerana diabaikan di dalam bilik mandi. Ibu bapa mesti berwaspada dan faham bahawa seorang anak boleh lemas apabila dibiarkan seketika sahaja !  

  • Jangan biarkan anak berseorangan di dalam bili air…. sekiranya hendak menjawab telefon bawalah anak bersama.
  • Pastikan takungan air di dalam baldi, tempayan atau telaga sentiasa ditutup jika tidak digunakan.
  • Ajar anak yang berumur lebih daripada 3 tahun cara berenang ….. walaupun diberi tunjuk ajar awasilah mereka apabila berenang.
  • Awasi anak apabila berjalan berhampiran sungai, kolam air, di tepi pantai. Parit dan longkang di tepi jalan berbahaya jika hari hujan.
  • Jauhkan anak daripada berenang di kawasan yang tidak dapat diawasi seperti sungai, bekas lombong dan laut yang dalam.
  • Sekiranya rumah mempunyai kolam renang ia harus dipagar apabila tidak digunakan. Tindakan ini dapat mengelakkan anak kecil daripada berlari dan terjatuh ke dalamnya. 

Kebakaran dan Kelecuran

Kebanyakan anak yang mengalami kecederaan ini memerlukan rawatan di hospital. Ini adalah kerana kelecuran itu melibatkan kawasan kulit yang besar. Anak yang kecil sering kelecuran akibat tercurah cecair panas manakala anak yang lebih besar sering terbakar akibat bermain api. Kebanyakan kelecuran yang berlaku di rumah terjadi di dapur.  

  • Jauhkan anak kecil dari dapur kerana di situlah air panas, minyak panas dan masakan panas disiapkan dan kemalangan boleh berlaku. Sebagai langkah keselamatan pastikan semua alat memasak (seperti kuali berisi minyak panas, koleh berisi air panas, dll.) tidak dapat ditarik oleh anak yang masuk ke dapur.
  • Jangan tinggalkan anak kecil berseorangan apabila makanan atau minuman panas dihidangkan di atas meja. Lebih-lebih lagi sekiranya anak bermain dengan alat bertatih, kerana ia dapat memanjat dan mencari makanan itu. Dalam usahanya, ia akan tersimbah air panas.
  • Jangan beri mancis kepada anak kerana ia akan bermain dengannya apabila ibu bapa keluar rumah.
  • Sampah-sarap harus dibakar oleh orang dewasa dan bukannya anak kecil. Jangan buang tin "aerosol"  ke dalam api kerana ia boleh meletup.
  • Jangan biarkan anak bermain mercun. Tiap-tiap tahun menjelang hari perayaan, ramai anak-anak tercedera akibat bermain mercun.
  • Kunci semua bahan api seperti minyak tanah, petrol, dll.
  • Jaga wayar alat-alat masakan seperti cerek, pemasak nasi, dsb.
  • Jangan lupa bahawa dapur adalah kawasan yang berbahaya kepada anak anda.  

Bab ini dipetik daripada buku Penyakit Kanak-kanak A-Z- Panduan untuk ibubapa oleh Dr Iean Hamzah Sendut & Prof. Dr Zulkifli Ismail ISBN 981-204-584-8 (tahun 1996).



  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

Home | Disclaimer |  Sitemap | Contact Us | Credits |

©Copyright Malaysian Paediatric Association - MPA   2010    All rights reserved.