President Message   |   Committee   |   History   |   Membership   |   Contact Us   |   Feedback & Enquiry   |   Home

 
Advanced Search

                    Forgot your password?
Home » Education Programmes » Nurses Education »  

9.4 Sindrom Distres Pernafasan (RDS)

4 September 2001

S1 : Sindrom Distres Pernafasan (RDS) ?

Sindrom distres pernafasan atau penyakit Membran Hailin adalah sindrom di mana bayi yang batu lahir mengalami kesusahan bernafas di dalam jangka masa lebih kurang 4 jam setelah dilahirkan.

S2 : Apakah puncanya?

Dalam paru-paru yang biasa, surfaktan pulmonary iaitu sejenis fosfolipid yang dihasilkan oleh sel pneumosit alveoli jenis II, berfungsi menjaga kestabilan alveolus dan mencegah keruntuhan alveolus pada fasa hujung ekspirasi. Bila terdapat kurang penghasilannya (seperti dalam sindrom distres pernafasan), alveolus pesakit kuncup pada fasa hujung ekspirasi dan runtuh. Dengan ini neonat perlu mengembangkan alveolus semula pada fasa inspirasi.

Penurunan komplian paru-paru itu seterusnya memerlukan penggunaan banyak tenaga oleh neonat untuk mencapai pengudaraan paru-paru yang memuaskan. Kegagalan neonat untuk berbuat demikian menghasilkan atelektasis alveolus dan menghasilkan ketidakseimbangan perfusi dan ventilasi sejurusnya memburukkan lagi hipoksia dan asidosis. Keadaan ini menghalang lagi sintesis surfaktan dan menjadikannya satu kitaran ganas yang jika dibiarkan berterusan menyebabkan kegagalan peredaran darah dan kematian.

S3 : Apakah tanda-tanda dan gejala sindrom ini?

Tanda yang awal ialah kesusahan bernafas yang selalunya bermula selepas 4 jam (mungkin berlaku lebih awal) yang dicirikan oleh dengkuran ekspirasi, pernafasan laju (takipnea)retraksi interkostal dan jika teruk sianosis (kebiruaan). Bunyi pernafasan semasa diauskultasi akan berkurang. Tanda-tandanya selalu menjadi lebih teruk dalam 12-24 jam pertama dan kemudiannya akan bertambah pulih dari 72 jam seterusnya.

   S4 :  Neonat mana akan mengalami sindrom ini dan apakah faktor yang akan mempradispos neonat untuk mendapatnya?

 Sindrom ini selalunya berlaku pada bayi pramatang. Faktor lain adalah hipoksia perinatal, hypothermia (kejatuhan suhu), asidosis metabolic dan juga bayi dari emak yang mengidap kencing manis yang tidak terkawal.

S5 : Apakah langkah yang harus diambil oleh jururawat sekiranya menjumpai pesakit begini?

 Adalah penting untuk mengelakkan daripada faktor-faktor yang disebutkan di atas (S4). Dengan itu sejurus selepas dilahirkan neonat pramatang ini hendaklah diresusitasi dengan baik, menghisap keluar sekresi dari mulut/hidung dan diberi oksigen melalui ambubag dan juga mencegah kehilangan kepanasan dengan dilap dan diletak dibawah pemanas. Bayi ini mesti dilihat dengan segera oleh doktor dan seterusnya di jaga diwad kawalan rapi neonat kerana bahaya berlakunya RDS kelak.

Jika dilihat pada waktu berumur 4 jam neonat hendaklah diberi jagaan incubator, tidak diberi pemakanan lagi (kerana bahaya aspirasi), oksigen ke dalam incubator (tidak berlebihan) dan terus memanggil doktor. Alat-alat resusitasi dan ventilator hendaklah disiapkan jika perlu.

S6 : Apakah langkah yang patut diambil oleh doktor?

Langkah-langkah pertama adalah sama seperti S5 iaitu resusitasi yang baik untuk mengelak faktor-faktor yang dapat menjejaskan lagi produksi surfaktan. Seterusnya diwad kawalan rapi neonat diberi oksigen ke dalam incubator, kotak kepala, tekanan udara secara berterusan (CPAP), atau jika terlampau teruk perlu intubasi dan ventilasi tekanan positif secara berselang-selang (IPPV). Disamping itu neonat mesti dirawat dalam persekitaran termoneutral, kawalan imbangan asid-bes dan eletrolit yang terperinci mestilah diberi perhatian.

 Dengan adanya penggunaan surfaktan tiruan yang agak baru diperkenalkan, terdapat lebih lagi cara merawati sindrom ini. Keputusan awal penggunaan surfaktan tiruan yang dilakukan amat menggalakkan.

S7 : Neonat manakah yang patut diberi oksigen?

Neonat yang mengalami gejala sindrom distres pernafasan sahaja perlu diberi oksigen (melalui cara-cara yang disebut dalam S6). Bukan semua bayi pramatang perlu diberi oksigen.

S8 : Apakah bahaya oksigen?

Oksigen jika diberi pada tahap yang berlebihan boleh menyebabkan neonat menjadi buta akibat retinopati kepramatangan. Dengan itu tahap oksigen hendaklah sentiasa dikawal samada dengan penganalisa oksigen atau/dan oximetri nadi. Disamping itu komplikasi lain bersangkut dengan penggunaan oksigen dan ventilator adalah displasia bronkopulmonari dan pneumotoraks.

S9 : Apakah fungsi tiub nasogastrik dalam dalam keadaan sindrom distres pernafasan?

Fungsinya adalah untuk mengosongkan perut terutamanya udara yang ditolak masuk oleh sistem ventilator yang dapat menjejas perkembangan paru-paru neonat. Ia juga digunakan bila hendak memberi pemakanan ubat-ubatan oral.

S10 : Apakah siasatan darah yang harus dibuat bagi pesakit sebegini?

 Darah akan diambil untuk siasatan hemoglobin, sel platelet dan darah putih dan juga kultur darah (kerana radang paru-paru dan juga infeksi boleh mempunyai gejala yang sama seperti sindrom ini). Yang paling penting ialah ujian darah arteri untuk tahap oksigen dan karbon dioksida serta tahap asid-bes untuk meneliti keberkesanan rawatan serta mencegah toksisiti oksigen.

S11 : Apakah sebabnya CXR harus dibuat untuk pesakit sebegini?

Tujuannya adalah untuk melihat tanda-tanda sindrom ini iaitu paru-paru berupa kaca-kisar (ground-glass) dan bronkogram udara (sila lihat gambar). Ia adalah juga bertujuan untuk melihat tahap di mana kateter salur pusat umbilicus berada.

Disamping itu ia dapat menunjukkan komplikasi sindrom ini seperti pneumotoraks dan displasia bronkopulmonari.

S13 : Apakah keterangan yang dapat diberi oleh jururawat kepada ibubapa apabila neonat dipindahkan daripada ibu untuk ke wad rawatan rapi?

  1. Masa melawat wad rawatan rapi neonat tidak terhad.
  2. Kepentingan membasuh tangan sebelum dan selepas memegang bayi
  3. Pemerahan susu badan (EBM) harus digalakkan
  4. Penjelasan berkenaan dengan wad rawatan rapi neonat. 

 Dr. Adrian Goh



  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

Home | Disclaimer |  Sitemap | Contact Us | Credits |

©Copyright Malaysian Paediatric Association - MPA   2010    All rights reserved.