President Message   |   Committee   |   History   |   Membership   |   Contact Us   |   Feedback & Enquiry   |   Home

 
Advanced Search

                    Forgot your password?
Home » Education Programmes » Nurses Education »  

9.3 Hipoglisemia Neonat

4 September 2001

S1 : Apakah hipoglisemia neonat?

 Hipoglisemia neonat ialah apabila gula dalam darah kurang daripada 2.2 mmol/L (40mg %)

S2 : Apakah yang menyebabkan hipoglisemia neonat?

(1)   Kekurangan pemberian makanan

(2)   Kekurangan simpanan glikogen hepar

  • anak pramatang
  • bayi yang kecil untuk umur gestasinya ('small for gestational age')

(3)   Keabnormalan metabolisme karbohidrat semula jadi

  • penyakit simpanan glikogen
  • intolerans fruktosa
  • galaktosemia

(4)   Kekurangan endokrin

  • kekurangan hormon pituitari
  • kekurangan kortisol

(5)   Hiperinsulinisme

  • bayi kepada ibu yang mengidap diabetes mellitus (kencing manis) ('infant of diabetic mother')
  • penyakit hemolisis neonat

(6) Kelebihan penggunaan glukosa

S3 : Apakah gejala dan tanda-tanda hipoglisemia neonat?

Kebanyakan bayi yang hipoglisemik tiada tanda-tanda dan gejala-gejala. Hipoglisemia boleh juga mengakibatkan iritabiliti, bradikardia, apnea (nafas berhenti) dan konvulsi/sawan.

S4 : Bagaimanakah hipoglisemia neonat boleh dielakkan?

Semua neonat patut diberi susu ibu dalam sejam pertama selepas kelahiran. Bayi yang sihat tetapi tidak berdaya menghisap susu boleh diberi susu melalui tiub nasogaster atau orogaster. Jika ada kontraindikasi penyusuan, infusi intravena dekstrosa mesti dimulakan.

S5 : Neonat manakah yang patut menjalani ujian gula darah?

Neonat yang tidak sihat, pramatang, kecil atau besar untuk umur gestasinya, yang mengalami asfiksia kelahiran atau neonat kepada ibu yang mengidap diabetes mellitus (sila lihat S2)

S6 : Apakah patut dilakukan sekiranya hipoglisemia neonat dikesan?

Neonat yang menghadapi hipoglisemia asimptomatik patut diberi susu secara awal dan kerap.Pengawasan gula darah adalah mustahak. Kekerapannya terpulang kepada situasi.

Jika neonat menghadapi hipoglisemia simptomatik, satu dos larutan dekstrosa 1 mL/kg Dextrosa 25%*secara intravena stat diikuti dengan infusi larutan dekstrosa 10% secara intravena dengan kadar infusi pengekalan patut diberi.

(* 1 mL Dextrosa 50% + 1 mL air = 2 mL dextrose 25%)

 S7 : Apakah komplikasi hipoglisemia neonat?

Hipoglisemia tanpa gejala yang dirawat dengan cepat tidak akan mengakibatkan kesan sampingan. Hanya hipoglisemia yang tidak dirawat atau yang berterusan akan mengakibatkan sawan, kerencatan akal dan palsi serebrum.

Dr. Siti Khadijah Hamdan



  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

Home | Disclaimer |  Sitemap | Contact Us | Credits |

©Copyright Malaysian Paediatric Association - MPA   2010    All rights reserved.