President Message   |   Committee   |   History   |   Membership   |   Contact Us   |   Feedback & Enquiry   |   Home

 
Advanced Search

                    Forgot your password?
Home » Education Programmes » Nurses Education »  

7.2 Meningitis

3 September 2001

S1 : Apakah penyakit Meningitis?

Meningitis ialah penyakit di mana terdapat inflamasi selaput otak (meninges) yang disebabkan oleh microorganisma termasuk bakteria dan virus. Ia merupakan satu kecemasan perubatan dan memerlukan rawatan segera. Kebanyakan kes-kes meningitis berlaku dikalangan kanak-kanak terutama dikalangan neonat dan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun. Kematian dan kesan-kesan sampingan meningitis seperti palsi serebrum, kecacatan otak, pekak, dan sebagainya masih tinggi. Oleh yang demikian pesakit-pesakit meningitis mesti diberi rawatan segera dan intensif.

S2 : Apakah jenis bakteria yang selalu menyebabkan meningitis di Malaysia?

Bakteria yang menyebabkan meningitis di Malaysia berbeza mengikut umur seperti di bawah :
 

Umur
Organisma
<1 bulan   Group-B-Streptococus
Organisma gram negatif seperti
E.Coli
Klebsiella
<  1 bulan  Strept. Pneumoniae
Neiseria meningitides
Hemophilus influenzae


S3 : Apakah tanda-tanda meningitis?

Tanda-tanda yang mungkin terdapat dikalangan kanak-kanak yang berpenyakit meningitis boleh digolongkan kepada yang spesifik dan yang tidak spesifik. Tanda-tanda yang tidak spesifik adalah seperti demam, letih, kurang aktif, kurang menyusu, pucat dan muntah-muntah. Tanda-tanda yang spesifik termasuk sawan, sakit kepala bersama muntah-muntah, ketegangan leher, tangisan nada tinggi, fontanele menonjol, fotofobia dan tanda-tanda neurologikal seperti palsi saraf kranial, hemiplegia dan refleks pantas (brisk reflexes). Walaubagaimanapun, tanda-tanda meningitis dikalangan neonat adalah kurang spesifik dan kita mesti sentiasa berhati-hati apabila seseorang neonat itu kurang aktif dan demam.

S4 : Bagaimanakah caranya untuk mengesan seseorang itu berpenyakit meningitis?

Untuk mengesahkan meningitis, kita perlu membuat analisa biokimia cecair serebrospina (CSF) dan kultur CSF. Rajah di bawah menunjukkan analisa biokimia CSF yang normal dan yang berpenyakit meningitis.

Kultur CSF membolehkan kita tahu bakteria yang menyebabkan meningitis dan sensitivitinya kepada antibiotik. Kadang-kadang analisa biokimia mungkin menunjukkan gambaran meningitis tetapi kultur CSF negatif. Ini mungkin disebabkan pesakit itu telah menerima antibiotik sebelum lumbar puncture dibuat. Apabila keadaan ini berlaku, pemeriksaan CSF untuk antigen bakteria menolong kita mengetahui bakteria yang menyebabkan meningitis. CSF untuk antigen bakteria adalah satu ujian khas yang mesti dibincang dengan pakar microbiologi sebelum spesimen dihantar.

S5 : Apakah bahayanya meningitis?

Meningitis merupakan penyakit yang banyak mendatangkan komplikasi-komplikasi. Komplikasi itu boleh dikumpulkan seperti di bawah :

Komplikasi Akut
1.    Shock septisemia
2.    Hidrosefalus
3.    Efusi subdural
4.    Sindrom SIADH
5.    Palsy saraf-saraf cranial
6.    Abses otak
7.    Kematian

Komplikasi Jangka Panjang
1.    Palsi serebrum
2.    Kecacatan mental/kelembapan perkembangan
3.    Epilepsi
4.    Pekak neurology
5.    Buta
6.    Microsefali
7.    Kelembapan belajar
8.    Masalah perangai
 
S6 : Bagaimanakah cara rawatan untuk meningitis?

Rawatan untuk meningitis boleh dibahagikan kepada rawatan supportif dan rawatan definitif. Pesakit yang tenat keadaannya hendaklah dimasukkan ke unit rawatan rapi.

(I) Rawatan supportif termasuk :  

1.    Memastikan edaran darah yang elok dengan menggunakan 0.9% salin, Hartman's solution atau FFP sekiranya pesakit dimasukkan dalam keadaan shock septisemia, iaitu pesakit itu berasa sejuk, berpeluh sejuk, pucat, takikardia, kepulangan kapilari (capillary return) yang lambat, pertukaran sensorium, tekanan darah yang rendah atau tidak dapat diukur.Infusi dopamine untuk mengekalkan tekanan darah di tahap yang dikehendaki mungkin diperlukan sekiranya tekanan darah  pesakit tidak memuaskan.  
2.    Pemerhatian yang rapi bagi nadi periferal, kadar pernafasan, warna pesakit dan tekanan darah.
3.    Rawatan intravena
Selalunya pesakit yang tenat tidak akan diberi apa-apa nutrient melalui mulut. Rawatan intravena untuk pesakit meningitis ialah 2/3 daripada keperluan hariannya dengan menggunakan ½ NS 5-10% dextrose. Ini adalah untuk mengurangkan bahaya edema serebrum dan SIADH.
4.    Antikonvulsant
Ubat yang selalu digunakan diazepam dengan dos 0.3 mg/kg/dos untuk menghentikan sawan secara i.v atau PR. Ubat yang boleh digunakan ialah phenobarbitone dan phenytoin.  
5.    Ventrikulo-peritoneal shunt. (V-P shunt)
Ini adalah untuk pesakit di mana terdapat komplikasi hidrosefalus
 
(II)      Rawatan definitif ialah menggunakan antibiotik yang sesuai mengikut bakteria yang terdapat dari kultur CSF.
&nbspJangka antibiotik yang diperlukan adalah mengikut bakteria yang terdapat dari CSF.
Strept, pneumoniae, H.influenzae – 10 – 14 hari
Group – B – Strept – 14- 12 hari
Gram negatif bacilli, Staphylococcus – 21 hari
 
S7 : Perlukah "lumbar puncture" dilakukan ke atas setiap pesakit yang disyaki berpenyakit meningitis?

Ya, sebaik-baiknya lumbar puncture mesti dilakukan sebelum rawatan antibiotik bermula. Setengah ibubapa takut akan lumbar puncture dilakukan kerana kepercayaan yang tidak berasas seperti menyebabkan maut, kelemahan badan dan sebagainya. Lumbar puncture yang dilakukan adalah mustahak untuk mengesan seseorang itu berpenyakit meningitis atau tidak. Lumbar puncture hanya menjadi bahaya sekiranya terdapat kenaikan tekanan intrakranum dimana terdapat papilledema di dalam mata. Dalam keadaan sedemikian lumbar puncture boleh ditunda sehingga pesakit mula pulih dengan rawatan antibiotik secara empirikal.  Situasi lain di mana lumbar puncture mesti ditunda ialah pesakit dalam keadaan shock, dan pesakit yang kurang stabil dalam sistem kardiorespiratorinya.

S8 : Apakah peranan jururawat dalam rawatan seseorang pesakit meningitis?

Peranan jururawat adalah banyak dan mustahak. Ini termasuk menolong doktor dalam proses resusitasi pesakit ; menerang dan menasihatkan ibubapa bahawa pesakit itu memerlukan lumbar puncture supaya rawatan yang paling sesuai boleh dimulakan dengan segera. Ibubapa seharusnya dinasihatkan bahawa segala gejala-gejala post-meningitis adalah kesan meningitis dan bukan disebabkan oleh lumbar puncture. Ibubapa seharusnya diberitahu bahawa pesakit memerlukan rawatan susulan untuk mengenal-pasti gejala-gejala post meningitis seperti pekak, kelembapan perkembangan, masalah perangai dan lain-lainya dengan secepat mungkin supaya program rehabilitasi dapat diaturkan dengan secepat mungkin.

Dr. Tee Ah Cheng



  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

Home | Disclaimer |  Sitemap | Contact Us | Credits |

©Copyright Malaysian Paediatric Association - MPA   2010    All rights reserved.